H1N1: Berwaspada ketika lawat negara Hemisfera Utara

KUALA LUMPUR 3 Dis. — Sempena musim cuti sekolah ini, Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai supaya berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika melawat negara Hemisfera Utara berikutan peningkatan penularan wabak Influenza A(H1N1) di negara-negara tersebut sejak minggu lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata berlaku peningkatan ketara sebanyak 95 peratus atau 75,000 kes yang disahkan dijangkiti wabak itu di Amerika Utara, Kanada Barat, Eropah, Mediterranean Timur dan Mongolia berbanding minggu sebelumnya.

"Oleh yang demikian pada musim cuti ini, penduduk Malaysia yang ingin ke luar negara untuk melancong, membuat lawatan sosial atau urusan kerja khususnya ke negara-negara Hemisfera Utara hendaklah sentiasa waspada dan mengamalkan kebersihan diri dan langkah pencegahan seperti yang disarankan sebelum ini sekiranya lawatan tersebut tidak dapat ditangguhkan,” katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment